Puasa Adalah Perisai.
عَنْ أَبِي صَالِحٍ الزَّيَّاتِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ.
رواه البخاري ومسلم وغيرهما.
Maksud hadith :-
Daripada Abu Soleh Az-Zayyat, bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda:
"Allah Ta'ala telah berfirman: "Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan memberinya balasan. Dan puasa itu adalah perisai, maka apabila seorang daripada kamu sedang melaksanakan puasa, janganlah dia berkata rafath (keji) dan jangan pula bertingkah laku jahil (seperti mengejek atau bertengkar sambil berteriak). Jika ada orang lain yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka hendaklah dia mengatakan:“Aku orang yang berpuasa”.
(Hadith riwayat Al-Bukhari : 1904, 5927, Muslim : 1151, Abu Dawud : 2363 , An-Nasaie : 2215, At-Tirmizi : 766, Ibnu Majah 1691, Ahmad 7038, 7504, 8320, Ad-Darimi : 1777, Ibnu Hibban dalam sahihnya : 355, Al Hakim dalam Al-Mustadrak 1520)
Huraian ringkas:-
Puasa adalah perisai, bermakna bahawa puasa tersebut menjadi benteng bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan keji dan amalan yang tidak layak dengan ibadah puasa.
Ibn Al-Mulaqqin berkata: “Puasa adalah perisai daripada dosa-dosa kerana puasa tersebut mematahkan syahwatnya, dan melemahkan kekuatan (nafsunya untuk bermaksiat)”. (At-Taudhih Syarah Al-Jami’ As-Sahih : 13/19).